Pages

Sunday 30 June 2013

MX001 - Pendo’a

Sekeping pelekat yang tertulis ayat Qursy disua kepada aku.

Katanya, bayarlah berapa saja..tetapi lebih dari 50 sen, sebab tidak balik modal sekiranya kurang.

Aku memberinya seringgit. Saat wang bertukar kepada kertas pelekat, dia menadah tangan dikhalayak ramai. Berdoa untuk aku.

Ya. Berdoa untuk kesejahteraan dan keselamatan aku dan keluarga.

Terkesima.




Perbualan kami sepanjang hampir satu jam sementara menanti tibanya tren komuter diakhiri dengan doanya buat aku. Terharu walau mungkin doa itu nilainya RM 1 pada dia.

Namun tidak ternilai padaku.


Didoakan

Apa mungkin perasaan kita bila tahu ada seseorang yang mendoakan kita? Bahagia? Teruja? Terharu? Apatah lagi orang yang mendoakan itu ialah orang yang tidak kita kenali.

Ada tak orang di dunia ni yang sanggup berhabis wang untuk didoakan? Ya, sangat ramai orang mempercayai kemustajaban doa sang pendoa.

Ada yang membayar untuk dibacakan doa-doa menyembuhkan, merawat, menguatkan kasih, dan bermacam-macam lagi. Pokoknya bukan itu yang mahu aku bicarakan.

Apa yang aku fikirkan ialah. Sangat ramai yang memerlukan doa dari orang lain. Mengapa ya? Aku tiada jawapannya. 

Aku sendiri sering meminta ibu bapa dan sahabat-sahabat mendoakan aku. Namun, adakah aku juga mendoakan mereka?

Mendoakan

Kuasa doa itu sangat hebat. Kerana Allah Maha Mendengar.

Sepertimana baiknya memberi daripada menerima begitu jugalah baiknya mendoakan daripada didoakan. Hati kita pasti tenang bila tahu sentiasa ada orang yang mendoakan kita. 

Namun, untuk rasa tenang itu berkekalan, kita juga harus sedia mendoakan.

Saat kita punya ‘mereka’ yang mendoakan kita, masih ramai manusia yang tercari-cari siapa yang mahu mendoakan dirinya.

Namun, bagi mereka yang tercari-cari sang pendoa..

Ingatlah bahawa Allah itu amat dekat. Doa sahaja guna hatimu. Doa sahaja guna lidahmu. Dia pasti mendengar.

Alangkah baiknya bila kita sentiasa mendoakan.

No comments:

Post a Comment